+603 2386 6221

©2019 by Institut Kajian Dasar.

DIALOGUE@SHAHALAM

Siri 1

Pada Jumaat yang lalu, 3hb Mei 2019 telah berlangsungnya Siri 1, Dialogue@ShahAlam. Dialog ini merupakan anjuran Kerajaan negeri Selangor bersama Institut Kajian Dasar.

Kelangsungan Dialogue@ShahAlam ini sejajar dengan pembentangan belanjawan Selangor 2019 oleh YAB Menteri Besar yang mahu melihat Dialogue@ShahAlam menjadi platform kepada ahli akademik dan intelektual untuk membincangkan topik bersifat serantau serta global. 

Dipetik dari ucapan YAB Menteri Besar dalam sidang belanjawan akhir tahun lalu, beliau berkata “Selari dengan matlamat menjadikan gerbang serantau dalam bidang ekonomi, Selangor perlu menjadi pemain utama yang mencorakkan wacana kontemporari berhubung isu strategik seperti keselamatan, pemanasan global, alam sekitar dan teknologi,” katanya.

Dalam siri pertama ini yang bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, seramai lebih kurang 600 penjawat awam dari sekitar negeri Selangor telah menghadirinya. Kerajaan negeri telah mensasarkan kumpulan ini dalam siri pertama ini, memandangkan mereka adalah tunjang utama kerajaan negeri.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, telah diundang untuk berdialog bersama penjawat awam.  Antara intipati penting dalam siri  tersebut,  hubungan antara pemimpin politik dan penjawat awam perlu diperkukuh dalam usaha meneruskan pemacuan pembangunan ekonomi dalam negeri dan negara. 

Tok Pa menjawab, "Sudah pasti penjawat awam harus meyokong kerajaan hari ini yang dipilih rakyat, itu prinsipnya, bekerja dengan kerajaan tanpa ada fahaman politik, berdasarkan perlembagaan negara kita. Setiap perkara memerlukan komunikasi supaya kedua pihak dapat memahami dan ini saya katakan berdasarkan pengalaman sebagai pegawai kerajaan dan ahli politik, saya memahami apa yang perlu dilakukan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan”.

Beliau juga berkata, “Malaysia berpotensi untuk menjadi sebuah negara yang hebat. Ada ketikanya dahulu kita seolah-olah ketinggalan bersaing dengan negara lain dan dengan kepimpinan serta semangat baharu, kita bersama untuk menjadi yang terbaik”.

Katanya lagi, dalam masa sama, negeri lain boleh menjadikan Selangor sebagai contoh kerana penjawat awam perlu memahami dasar kerajaan sebelum melaksanakannya.

Secara ringkasnya, siri-siri Dialogue@ShahAlam akan memfokuskan kepada satu tema: menyediakan ruang untuk para sarjana, pembuat dasar, dan pihak-pihak yang berminat untuk membincang dan merumuskan idea kearah pembangunan yang positif dan menjalankan kegiatan yang dapat menerbitkan idea-idea kreatif, kritikal dan pemandu bagi isu- isu sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan.